Sabtu, 24 Disember 2011

Anugerah khidmat Cemerlang Acuan SBPA

Menurut SURAT PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 7 TAHUN 2011, berikut adalah maklumat tentang Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Cemerlang Dan Pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi penjawat awam (mmmmm makin susahlah nak dikelaskan sebagai cemerlang ya)

TUJUAN
1. Surat  Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk menjelaskan dasar dan pelaksanaan penganugerahan Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C.) dan pemberian Anugerah Perkhidmatan  Cemerlang (APC) kepada pegawai dalam perkhidmatan awam.

TAFSIRAN
2.  Tafsiran bagi maksud Pekeliling Perkhidmatan ini adalah:
“pegawai” bermaksud semua  kategori pegawai  yang sedang berkhidmat yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Melantik secara tetap, sementara atau kontrak.  
“Ketua Jabatan” bermaksud seorang pegawai yang mengetuai sesuatu jabatan atau Ketua Perkhidmatan, mengikut mana-mana yang berkenaan.

LATAR BELAKANG
3.  Pemberian APC kepada  pegawai  perkhidmatan awam telah dilaksanakan melalui Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bil. 2 Tahun 1993 dan diubahsuai menerusi PKPA Bil. 2 Tahun 2002 berikutan pelaksanaan Sistem Saraan Malaysia (SSM). APC merupakan penghargaan Kerajaan kepada  pegawai perkhidmatan awam yang telah memberi perkhidmatan cemerlang di samping pengiktirafan terhadap perkhidmatan yang bermutu  tinggi  berdasarkan prestasi tahunan pegawai. Pemberian APC diberi kepada sejumlah 8 peratus  pegawai  yang sedang berkhidmat pada 31 Disember tahun penilaian bagi setiap agensi. 
4. Selaras dengan transformasi negara ke arah budaya kerja berprestasi tinggi dan berinovasi, Kerajaan telah bersetuju supaya penganugerahan P.P.C. diwujudkan di samping pemberian APC sebagai satu lagi bentuk pengiktirafan terhadap pegawai perkhidmatan awam. 

PENGANUGERAHAN
5. Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C.) merupakan pingat bagi pegawai perkhidmatan  awam yang menunjukkan  kecemerlangan luar biasa dalam tugas yang diamanahkan serta aktif dalam penglibatan dan sumbangan di luar tugas rasmi  termasuk aktiviti kesukarelaan, kemasyarakatan, sukan, kebudayaan dan sebagainya yang boleh mengharumkan nama organisasi dan negara. Tujuannya adalah untuk:  
a) memberikan pengiktirafan kepada pegawai  perkhidmatan  awam yang menunjukkan kecemerlangan luar biasa dalam aktiviti tugas rasmi dan di luar tugas rasmi;
b) memberi pengiktirafan kepada hasil sumbangan kreativiti dan inovasi pegawai; 
c) menggalakkan pegawai  perkhidmatan  awam melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelaan, kemasyarakatan, sukan, kebudayaan dan sebagainya; dan
d) meningkatkan motivasi pegawai  perkhidmatan  awam untuk membudayakan kecemerlangan di pelbagai bidang tugas rasmi mahupun di luar tugas rasmi.
6.  Pingat ini adalah dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui Statut Pingat Perkhidmatan Cemerlang.
7. Penganugerahan P.P.C. ini dilaksanakan oleh Menteri atau Timbalan Menteri di kementerian yang berkenaan.
8.  Pingat ini adalah diiktiraf sebagaimana pingat-pingat yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan boleh dipakai semasa majlis rasmi.

DASAR

9. Dasar penganugerahan P.P.C. dan pemberian APC adalah seperti berikut:  
a) Bilangan  keseluruhan penerima P.P.C. dan APC bagi setiap agensi  tidak boleh melebihi 8 peratus daripada jumlah  pegawai  yang sedang berkhidmat pada 31 Disember tahun penilaian berkenaan. Walau bagaimanapun, had maksimum penerima P.P.C. tidak boleh melebihi 3 peratus daripada jumlah 8 peratus tersebut. Sekiranya pada tahun berkenaan  tiada pegawai perkhidmatan  awam  yang layak menerima P.P.C.,  maka agensi tidak perlu melaksanakan  penganugerahan P.P.C. bagi tahun berkenaan dan kuota tersebut boleh digunakan untuk pemberian APC.
b)  Pingat Perkhidmatan Cemerlang yang telah diterima oleh pegawai boleh ditarik balik mengikut Fasal V, Statut P.P.C. dan perenggan 7 Peraturan-Peraturan Yang Menentukan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Cemerlang bagi keadaan seperti di Lampiran A.

PELAKSANAAN
10. Pingat Perkhidmatan Cemerlang
a) Kelayakan
i) Pegawai yang layak dipertimbangkan bagi penganugerahan P.P.C. adalah seperti berikut:
1) pegawai tetap yang telah disahkan dalam perkhidmatan;
2) bagi  pencalonan kali pertama, telah genap 5 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam pada tahun prestasinya dinilai;  
3) pegawai perkhidmatan awam Gred 1-6 atau setaraf dan ke bawah; 
4) pencapaian cemerlang dalam prestasi kerja dan aktiviti atau sumbangan di luar tugas rasmi;
5) lulus tapisan keselamatan (jenayah dan keselamatan) Polis Diraja Malaysia (PDRM);
6) lulus tapisan keutuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM);
7) lulus tapisan keutuhan Jabatan Insolvensi Malaysia;
8) tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib; dan
9) diperakukan oleh Panel Pembangunan Sumber Manusia (PPSM).
 
ii)  Pegawai layak dipertimbangkan bagi penganugerahan P.P.C. buat kali kedua jika memenuhi syarat seperti berikut: 
1) memenuhi syarat di perkara 10 (a) (3) hingga (9); dan 2) perkhidmatan tidak terputus dalam tempoh 5 tahun dari tarikh penganugerahan kali pertama. 

b)  Asas Penilaian
i) Penilaian yang dilaksanakan adalah berdasarkan kepada lima (5) kategori kegiatan dan sumbangan di luar tugas rasmi  seperti berikut:
1) keahlian  pertubuhan kemasyarakatan/ NGO/ kelab/ persatuan/ pasukan sukarela;
2) sumbangan inovatif / kreatif / bakat / kemahiran;  
3) sukan dan permainan;
4) penglibatan dalam aktiviti / program; dan   
5) komitmen kepada tugasan di luar waktu pejabat.

c) Asas Pertimbangan
Bagi menentukan penerima P.P.C., pegawai yang layak dipertimbang akan dinilai berdasarkan syarat-syarat berikut: 
i) memperoleh markah Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LNPT) 85% dan ke atas; dan
ii) memperoleh  markah penilaian aktiviti atau sumbangan di luar tugas rasmi 10 markah dan ke atas.

d) Insentif 
i) Pegawai yang dianugerahkan P.P.C. akan menerima insentif seperti berikut:
1) Pingat Perkhidmatan Cemerlang;
2) Sijil Pingat Perkhidmatan Cemerlang; dan
3) Sijil amanah atau Sijil Simpanan Premium atau wang tunai bernilai RM1,000.00.
ii) Pegawai juga akan diberi peluang dan keutamaan dalam: 
1) pembangunan  kerjaya seperti menghadiri kursus, seminar atau persidangan yang boleh menyumbang kepada peningkatan prestasi kerja; dan  
2) pencalonan untuk  menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan dan Negeri.

e) Perolehan Pingat
i) Reka  bentuk pingat adalah seperti yang  termaktub dalam Statut P.P.C. dan perolehan dibuat dengan pembekal yang telah dilantik oleh Kerajaan; dan
ii) Urusan perolehan pingat dilaksanakan oleh kementerian menggunakan peruntukan masing-masing. 
f) Kawalan dan Rekod
i) P.P.C.  ini adalah dikawal oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA); 
ii) Senarai pegawai yang dicalonkan untuk penganugerahan P.P.C. hendaklah dikemukakan terlebih dahulu kepada JPA untuk semakan sebelum penganugerahan dilaksanakan; dan
iii) Senarai penerima P.P.C.  untuk tahun tersebut akan disah dan diwartakan oleh JPA.

g)  Carta alir proses  kerja  penganugerahan P.P.C. adalah seperti di Lampiran B.

11. Anugerah Perkhidmatan Cemerlang
a) Kelayakan
Pegawai yang layak dipertimbangkan bagi pemberian APC adalah semua pegawai  perkhidmatan awam sama ada yang dilantik secara tetap,  sementara atau kontrak dan telah berkhidmat genap setahun pada hari terakhir tahun penilaian.
b)  Asas Pertimbangan
Pegawai yang layak dipertimbangkan bagi  pemberian  APC adalah seperti berikut:
i) memperoleh markah LNPT 85% dan ke atas; dan
ii) bebas dari tindakan tatatertib dalam tahun penilaian.
c) Insentif 
i) Insentif  bagi pemberian APC adalah seperti berikut:
1) Sijil Perkhidmatan Cemerlang; dan
2) Saham amanah atau Sijil Simpanan Premium atau wang tunai bernilai RM1,000.00.
ii) Pegawai juga  akan diberi  peluang dalam  pencalonan untuk menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan dan Negeri.
d) Carta alir proses kerja pemberian APC adalah seperti di Lampiran C.

12.  Peranan Ketua Jabatan
a) Mempamerkan nama dan gambar penerima P.P.C.  dan APC di lokasi yang strategik atau yang sering dikunjungi orang ramai di pejabat.  
b)  Menyelenggara rekod penerima P.P.C. dan APC di kementerian/ jabatan masing-masing.
c) Melaksanakan penganugerahan P.P.C. dan pemberian APC serta penyediaan insentif kepada penerima di kementerian/ jabatan.
d)  Mengemukakan senarai penerima P.P.C. bagi tahun semasa kepada JPA untuk pengesahan dan pewartaan.

13.  Borang Penilaian
 
a) Setiap pegawai  perkhidmatan  awam perlu melengkapkan Borang Penilaian Kegiatan dan Sumbangan untuk dinilai setiap tahun penilaian. Borang ini perlu dilengkapkan bagi tujuan pemilihan penerima P.P.C. dan APC. 
b) Borang penilaian adalah seperti di Lampiran D.
14.  Bagi memastikan kaedah pengendalian dan penilaian kegiatan dan sumbangan ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, Ketua Jabatan hendaklah memastikan perkara yang dinyatakan dalam  Surat Pekeliling  Perkhidmatan ini dipatuhi dan dilaksanakan sepenuhnya sama ada dalam bentuk manual atau elektronik.
15.   Jadual ringkasan penganugerahan P.P.C. dan pemberian APC adalah seperti di Lampiran E. 
16.  Penganugerahan P.P.C. ini dilaksanakan mulai tahun 2013 berdasarkan markah LNPT Tahun 2012 dan pencapaian seperti mana di perenggan 10 (c). 

TARIKH KUAT KUASA
17. Surat Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012. 

PEMAKAIAN
18.  Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Surat  Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya adalah dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

KEADAAN-KEADAAN YANG MEMBOLEHKAN P.P.C. DITARIK BALIK
Pingat Perkhidmatan Cemerlang yang telah dianugerahkan kepada pegawai boleh ditarik balik mengikut Fasal V, Statut P.P.C. dan perenggan 7 Peraturan-Peraturan Yang Menentukan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Cemerlang bagi keadaan berikut:
a. pegawai telah disabitkan atas sesuatu kesalahan yang melibatkan fraud, kecurangan atau keburukan akhlak; atau
b. pegawai hilang taraf kewarganegaraan; atau
c. pegawai disifatkan berkelakuan tidak sesuai sebagai penerima pingat oleh Panel Pembangunan Sumber Manusia (PPSM).

Tiada ulasan: