Jumaat, 29 Julai 2011

Kenduri Pra-Ramadhan



Hari ni hari Jumaat... Puasa pun dah nak dekat ni…

Subuh-subuh tadi hujan, basahkan bumi bangi buang habuk, turunkan suhu bumi. Turunkan suhu badan dan suhu hati juga. Opsssss! hari ni ramai orang naik angin, gembira dengan Raja Gopal Harimau Malaya. Sejak tengah malam semalam lagi, dah terasa bahangnya. Melintaslah ke manapun di dunia maya, nama Raja Gopal dah popular sakan. Semua orang sebut. Hari ini tentu lagi popular keluar kat paper segala.

Aku sejukkan kalian yang sedang menggelegak rasa dan jiwa dengan hancurnya harapan Malaysia untuk beraksi dalam Piala Dunia 2014 dengan entri ini. Entri Pra-Ramadhan.

Aku terdedah dengan acara kenduri dan majlis kesyukuran sebelum kedatangan Bulan Ramadhan semenjak dua menjak ini sahaja. Sebelum ini aku terkurung dalam tempurung kaca aku sendiri sahaja, tak ada orang sudi bermasyarakat dengan aku (boleh ek alasan tu?).

Sebenarnya agak kekok dan pelik acara kenduri sebegini, namun lama kelamaan secara perlahan dan diserap masuk dalam hidup aku pun. Orang kata, dek terbiasa, dah tak hairan lagi. Kira sama macam budaya buka puasa di hotel-hotel mewah hingga tersandar tak terbangun dek lambakan makanan. lama-lama dah semacam jadi budaya pula.

Kalau kat kampung aku di Kelantan sana (ini kira macam kenangan silamlah ya…sekarang ni dah tak berapa ramai lagi yang buat kot, tak tahulah. Aku kan balik musim raya je, bukan musim puasa) kenduri dan acara makan-makan kesyukuran ni mereka buat dengan berlumba-lumbanya sepanjang masa sebulan Ramadhan itu. Acara buka puasa bersama-sama. Ajak satu kampung kalau buat besar. Kalau kecil sahaja, hanya libatkan rakan-rakan dan sanak saudara sahaja.

Masa kecil dulu, agak kerap juga ayah buat acara kenduri buka puasa ini. Biasanya hanya dihadiri jiran terdekat dan saudara mara yang dekat aje, tak sampai 20 orang pun. Waktu begini, onde-onde atau Puteri Mandi kita orang buat berjeluk banyaknya. Tak pun cendol. Siap kisar beras segala tu…tragis betul, namun, itulah yang indahnya pun. Rindu pulak nak kenduri berbuka puasa ramai-ramai macam tu.

Lepas berbuka puasa tu, ada yang teruskan pula dengan acara solat maghrib berjemaah, bersambung dengan Isyak dan terawih pula. Kalau rumah tak besar mana, mereka akan ramai-ramai ke surau atau masjid berdekatan. Acara sebegini mereka lakukan untuk mengaut sebanyak mungkin kebaikan dilimpahkan pada bulan Ramadhan yang mulia itu. Bukankah memberi makan kepada orang lain dan menderma itu besar pahalanya, terutama pada Ramadhan. Mungkin sebab itu, masing-masing berlumba untuk lakukannya. Jom kita hayati hadis di bawah:

Orang yang memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang lain yang berpuasa, ia akan mendapatkan pahala orang tersebut tanpa sedikitpun mengurangi pahalanya.” (HR. At Tirmidzi)
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.” Riwayat at- Tirmidzi

Huraian dan Pengajaran Hadis:

i) Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti membanyakkan bersedekah kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak.
ii) Bersedekah bukan hanya memberikan wang, tetapi termasuk di dalamnya mengajak berbuka puasa kepada fakir miskin dan orang-orang yang berpuasa.
iii) Konsep "memberi" (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja selama Ramadhan bahkan di bulan-bulan lain juga kerana selalu bersedekah akan memberikan pengaruh yang baik pada peribadi dan masyarakat umumnya di mana seseorang itu akan dapat menghakis sifat kedekut dalam dirinya di samping mempereratkan lagi ikatan kemesraan di dalam anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.
iv) Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk.

Bila dah lama hidup di bumi Bangi, budaya kenduri pra-Ramadhan semakin kerap aku hadiri. Orang lain yang buat kenduri, aku tukang angkut mulut dok nganga je. Bila semakin kerap aku hadiri dan dijemput, rasa pelik itu sedikit demi sedikit dah hilang padahal sebelum ini aku selalu berkata-kata dalam hati sendiri: Bukankah lebih elok lakukan pada bulan ramadhan?

Apapun, harapnya, orang yang jemput dan buat kenduri Pra-Ramadhan itu juga tetap mendapat pahala dengan budi baik mereka menjemput dan menjamu aku. Ada yang siap bekalkan kurma lagi bawak balik. Asal pasal makan aje, aku memang tak tolak hu hu hu memanglah mulut tempayan kalau bab makan!

1 ulasan:

eelobor berkata...

ambo nok wak gok kenduri nyambut poso, tapi make woh duye bangi....